Video Hina Solat Orang Islam Sambil Gelak Ketawa, Lelaki Ini Ditahan Bersama Teman Wanitanya

POLIS menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual jam dan seorang pelajar kolej wanita, kerana disyaki terbabit dalam kes mempersendakan agama Islam melalui rakaman video yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan suspek lelaki berusia 20 tahun itu di Taman Kledang, Menglembu dekat Ipoh, Jam 11.15 malam sebelum menahan rakan sebayanya, di Taman Silibin Ria.
“Lelaki itu mengaku melakukan watak solat dalam video berkenaan dan rakan wanitanya mengaku merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit miliknya, dengan niat untuk bergurau di sebuah inap desa di Taman Lapangan Terbang, sebelum memuat naik di Instagramnya.
“Rakaman itu dilakukan pada 28 Oktober lalu pada jam 1.27 pagi, berdasarkan semakan di telefon bimbit berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Asmadi berkata, siasatan awal mendapati wanita itu telah memadamkan video yang dimuat naik di laman Instagramnya kerana takut, setelah ia menjadi tular.